EKSPEDISI JWJ2 merupakan usaha besar yang telah berjaya dilaksanakan dan mencapai objektifnya. Catatan penggalian sejarah Melayu, demonstrasi kebudayaan tradisi Melayu, penyerahan bantuan kebajikan, pembinaan insan dan motivasi, ibadah akikah dan penyampaian zakat adalah antara bentuk kejayaan ekspedisi ini.
Laluan EKSPEDISI JWJ2 bermula dari Klang, Selangor menyusuri pantai timur Thailand memasuki Kemboja, Vietnam, Laos dan memasuki pintu sempadan China berakhir di Sipsongpanna Yunan, China. Konvoi JWJ2 bergerak pulang melalui pintu sempadan Boten di China, Chiang Rai, Thailand dan melalui Chiang Mai, Tai Chi Lek Burma serta melalui pantai barat Thailand menuju Bukit Kayu Hitam, Malaysia. Secara keseluruhannya Ekspedisi JWJ2 telah merentasi 7 buah negara pada bulan Mei 2011 iaitu Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, China juga Malaysia. Ekspedisi ini telah memakan masa selama 25 hari dengan jarak perjalanan 12,000 km menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Para peserta terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan berjumlah seramai 33 orang termasuk wartawan Utusan Malaysia, Bernama dan krew RTM TV1.