Laos [siri 2]

LUANG NAMTHA

13 hb Jun 2011, Isnin - Sepatutnya konvoi keluar dari China dan bermalam di Luang Namtha, Laos yang berjarak kira-kira 50 km dari Botene dan melebihi 200 km ke Huay Xai, Laos bersebelahan Chiang Khong, Thailand.

Seluruh anggota telah bersetuju untuk melepasi sahaja negara Laos kali ini untuk terus ke Thailand memandangkan agak sukar mendapatkan makanan halal di negara ini. Pada keadaan ini, konvoi harus bersedia mengikat perut dan hanya makan bekalan roti yang dibawa sejak pagi lagi dari China.


Apa pun persetujuan semua memaksa konvoi memandu sekurang-kurangnya 80 km sejam bagi melepasi kawasan pengunungan menuju ke Huay Xai dan kemudiannya harus menaiki feri melepasi sungai Mekong ke Chiang Khong, Thailand.

Pada tengahari konvoi telah pun melepasi Luang Namtha, sebuah pekan 'cowboy' yang menyediakan tempat-tempat perjudian bagi warga Loas dan juga Thailand. Konvoi JWJ2 tidak berhenti pun di sini kerana mengejar masa untuk sampai ke destinasi utama.

Akhirnya pada jam melebihi 4.30 petang, setelah melalui jalan-jalan gunung yang agak teruk, rombongan JWJ2 tiba di tebing sungai Mekong di sebelah Huay Xai. Tanpa berlengah kenderaan konvoi menaiki dua buah feri untuk menyeberangi sungai menuju ke sempadan Chiang Khong, Thailand.

Menaiki feri untuk menyeberangi ke Chiang Khong, Thailand
Berjaya juga konvoi ini melepasi dari China ke Thailand melalui Laos dalam masa satu hari. Terserlah senyuman di bibir keseluruhan anggota konvoi apabila dapat melihat bumi Siam di seberang sungai sebagai tanda bukti kejayaan bersama.

Sg Mekong menjadi sempadan Huay Xai/Chiang Khong
Para media bertambahlah gembiranya mereka kerana yakin segala bahan berita mereka dapat dihantar ke Malaysia apabila tiba di Thailand nanti kerana pengalaman mereka sebelum ini di negara gajah putih itu cukup mudah mendapatkan perkhidmatan internet.

Selamat bertemu kembali Thailand dan lokasi konvoi seterusnya ialah ke Chiang Rai untuk bermalam.

CATATAN LAIN Malaysia 1 I Thailand 1 Cambodia Vietnam I Laos 1 I China I Laos 2 I Thailand 2 Myanmar I Thailand 3 I Malaysia 2 I Diari-JWJ I